Friday, June 28, 2013

Perjalanan solo ke kota Singa

SEBUT sahaja kota singa, sudah tentu terbayang panorama indah bandar raya Singapura yang terkenal dengan kemajuannya.


Keindahan itu juga sebenarnya yang membawa Rayyan Haries, 23, bercuti bajet ke pulau itu secara solo.
Berikut catatan perjalanan pemuda dari Subang Jaya yang mungkin boleh dijadikan panduan pembaca .com.
“Perjalanan saya bermula dari Stesen Sentral Kuala Lumpur. Selepas tujuh jam perjalanan menaiki kereta api, saya tiba di pusat pemeriksaan imigresen Woodlands, Singapura.


“Dari situ saya menaiki bas ke MRT Woodlands dan seterusnya ke stesen Ang Mo Kio dengan kos RM2.70. Di stesen MRT itu saya mendapatkan pas pelancong berharga RM20 bersama deposit sebanyak RM25 yang akan dikembalikan apabila kamu mengembalikan kad tersebut.


“Dengan adanya kad itu membolehkan pelancong menggunakan kemudahan perkhidmatan awam seperti bas, MRT dan LRT tanpa had.


“Selepas tiba di Ang Mo Kio, saya menaiki MRT laluan ke Dhobi Ghout untuk ke Little India yang menjadi lokasi pertama bersiar-siar sambil mencari hotel bajet.


“Bagaimanapun, cuaca tidak baik pada masa itu membataskan pergerakan saya.


“Selepas bertanyakan dengan orang di sekeliling, akhirnya saya memilih hotel bajet The Inn-Crowd dengan kos RM50 semalam termasuk sarapan pagi percuma dan WiFi.


“Selepas itu saya berehat sebelum keluar pada pukul 1.30 petang untuk makan di sebuah restoran India.
“Kemudian saya meneruskan perjalanan ke Muzium Negara Singapura yang menggunakan bangunan lama sejak zaman penjajahan British.


“Caj masuk adalah RM25 tetapi saya hanya membayar RM12.50 kerana memiliki kad pelajar.
“Bagi mereka sukakan sejarah, muzium ini merupakan antara yang terbaik pernah saya lawati.
“Perancangan saya ketika itu agak celaru memandangkan waktu ketika itu sudah hampir pukul 4.00 petang dan kebanyakkan tempat menarik disekitarnya hampir tutup.


“ Dari MRT Dhobi Ghout, saya menaiki kereta api ke Raffles Place menuju ke arah Esplanade dan Orchard Road.
“Sepanjang perjalanan ke The Merlion Park saya mendapati lokasi ini sebenarnya terletak di tepi pantai dan turut dikenali sebagai syurga makanan buat penggemar makanan laut.


“Bagaimanapun, oleh kerana saya sedang bercuti bajet maka saya terpaksa melupakan kawasan restoran dan kafe mewah itu.


“Walaupun saiz tempat ini agak kecil, lokasinya agak menakjubkan maka tak hiaranlah mengapa destinasi ini dijadikan simbol buat Singapura.


“Hari kedua saya meneruskan perjalanan ke Pusat Sains Singapura. Untuk ke sana, saya hanya perlu menaiki MRT ke stesen Jurong East.


“Ketika lawatan itu pameran dinosaur sedang berlangsung, namun saya akhirnya mengambil keputusan untuk membeli pakej Snow City dan Pusat Sains berharga RM40.

“Snow City bersaiz sederhana tetapi dipenuhi ribuan pengunjung tanpa henti. Masuk sahaja ke dalamnya, terdapat pelbagai bahagian yang menyeronokkan.

“Biarpun sudah meluangkan masa hampir dua jam, saya masih tidak melawat semua bahagian.
“Selepas puas berada di sana, saya bergerak ke Chinatown. Menariknya di sana, kebanyakan cenderamata dijual lebih murah jika dibandingkan dengan lokasi lain di sekitar kota singa.


“Macam-macam barangan dijual di sana meliputi barangan cenderamata, pakaian, minyak wangi dan pelbagai lagi barangan yang menarik perhatian terutamanya buat kaum Hawa.


“Sempat juga saya singgah di salah satu kedai menjual minyak wangi.
“Walaupun harganya amat murah tetapi bajet saya pada hari itu sudah tinggal sedikit maka saya hanya membeli enam magnet peti sejuk berharga RM25.


“Dari situ saya menyambung perjalanan ke Bugis Street tetapi apa yang pasti barangan di sana lebih mahal harganya iaitu dua kali ganda lebih mahal jika dibandingkan dengan Chinatown.


“Selesai di Bugis Street saya kembali ke hotel untuk bersiap pulang. Namun sebaik tiba di hotel, dua pelancong lain, Natalie dan Camille yang menjadi teman berborak sejak dua hari lalu mengajak saya mengunjungi tingkat 57, Marina Bay Sand di Merlion Park.


“Selepas mencongak masa yang ada, saya bersetuju ke Marina Bay Sand untuk menyaksikan keindahan seni bina dan pemandangan di kawasan itu.


“Alhamdulillah, saya sempat sampai ke stesen Woodlands tepat pada waktunya untuk menaiki kereta api pulang ke Kuala Lumpur. Bagi saya Singapura mempunyai keistimewaan tersendiri yang menakjubkan."


UTUSAN


No comments: